Bung Moktar pernah jadi Menteri Infrastruktur Sabah patut dipersalahkan – Zulkarnian Mahdar

KOTA KINABALU : Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) kecewa kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir mempersoalkan kejayaan program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnian Mahdar berkata, sejak bersahabat bersama Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Adpal sebaris dengan kem pembangkang di Sabah, Suhaimi kelihatan semakin kurang bijak ketika menterjemah isu membabitkan pentadbiran negeri Sabah.

Katanya, program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menunjukkan hasil cukup positif apabila kerajaan negeri berjaya menarik banyak pelabur luar sekali gus menunjukkan sedikit penurunan bilangan kadar pengangguran di Sabah.

“Contoh ringkas apabila kerajaan berjaya membawa masuk Syarikat SK Nexilis Co Ltd (SK Nexilis), merupakan pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia membina kilang operasinya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), bernilai RM2.3 billion.

“Kilang pembuatan kaca fotovolta solar (PV) SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernlai RM3 billion di KKIP mampu mewujudkan 1,400 pekerjaan baharu sekurang-kurangnya 90 peratus jawatan di isi rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zulkarnian berkata, Suhaimi seperti meludah ke langit terkena muka sendiri apabila mempersoalkan keadaan jalan di Sabah termasuk bekalan air serta elektrik.

“Suhaimi lupa, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebelum ini dipegang Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Hajiji Noor memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada Bung Moktar untuk menyelesaikan masalah jalan, air dan elektrik di Sabah sebelum diliucutkan jawatan menteri pada Januari tahun lalu,” jelas Zulkarnian.

Menurutnya, Bung Moktar sepatutnya tidak berdiam diri membabitkan isu ini kerana punca kegagalan masalah jalan, air dan elektrik ada mengena dengan kementerian yang diterajui oleh Bung selama hampir dua tahun.

“Suhaimi perlu bertanya kepada Shafie Apdal mengapa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah jatuh menjunam kepada 0.5 peratus ketika menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Kadar pengangguran meningkat, rezab kewangan negeri berkurangan, apabila kegagalan membawa masuk pelabur luar ke Sabah,” tambah Zulkarnian.