KOTA KINABALU: Selepas mencekik isteri sehingga maut, seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kelar pada lehernya di sebuah bilik sewa di Jalan Pantai hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, pasangan suami isteri itu dipercayai bertengkar sebelum lelaki berusia 30-an itu bertindak mencekik leher isterinya sehingga maut.
“Mayat mangsa wanita berusia 20-an itu ditemukan bersama suaminya yang ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
“Suami mangsa dipercayai cuba membunuh diri berikutan terdapat kesan kelar pada leher lelaki berkenaan.
Lelaki tersebut kini masih menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH),” katanya dalam laporan BH Online hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa wanita itu dipercayai dibunuh oleh suaminya kerana terdapat kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dicekik. Malah, dahi mangsa juga mempunyai kesan luka.
