KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Sabah merekodkan sebanyak 877 aduan awam sehingga Disember tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, daripada jumlah itu 85 peratus aduan awam berjaya diselesaikan manakala 15 peratus sedang dalam proses untuk diselesaikan.
Katanya, warga kerja JPP Sabah perlu menggandakan usaha bagi memantapkan operasi pembetungan di Sabah agar lebih lancar sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.
“Kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga sistem pembetungan juga agak kurang, oleh itu JPP Sabah perlu mengambil pendekatan sesuai selari dengan cabaran semasa untuk meningkatkannya.
“Kesedaran orang awam sangat penting tentang kesan serta akibat daripada pembuangan sampah, lemak, sisa minyak ke dalam sistem pembetungan kerana ia menyumbang kepada masalah pembetungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2020 di sini semalam.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, antara punca penyumbang kepada permasalahan sistem pembetungan adalah disebabkan terdapat beberapa aset pembetungan yang sudah uzur.
“Sistem pembetungan di Sabah terlalu uzur dan ada sebahagian tidak berfungsi sepenuhnya memerlukan dana untuk dipulihkan serta dinaiktaraf bagi memastikan ia dapat berfungsi seperti yang dirancang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Bung Moktar mahu JPP Sabah menstruktur semula jabatan dengan meningkatkan sumber manusia memandangkan jumlah aset pembetungan sentiasa bertambah mengikut kepesatan pembangunan di Sabah.
“Ini penting kerana ia bukan sahaja dapat memperkasakan lagi struktur organisasi JPP Sabah malah mampu mengoptimumkannya sekali gus memelihara kualiti persekitaran dengan baik serta melindungi sumber air semula jadi,” katanya.
Selain itu, JPP Sabah melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dikongsikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam aspek pembetungan di negeri Sabah bagi meningkatkan kehidupan rakyat menjelang tahun 2030 nanti.