LAHAD DATU: Gara-gara ingin mencari peluang pekerjaan di Bandaraya Kota Kinabalu, lapan warga Indonesia bersama seorang lelaki tempatan di tahan dalam pemeriksaan sekatan jalan raya dalam ‘OP Benteng’ di Kilometer 12 Jalan Lahad Datu – Tawau di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, lapan warga asing itu ditahan kira-kira jam 9.40 malam dipercayai bersembunyi di bahagian lori kontena yang dipandu lelaki tempatan berumur 35 tahun.
Katanya, kesemua suspek masing-masing berumur 18 hingga 55 tahun itu terdiri daripada seorang wanita dan tujuh lelaki yang dipercayai baru tiba dari negara jiran.
“Hasil pemeriksaan awal polis mendapati tiga daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah sekali gus dipercayai di bawa masuk melalui jalan tikus dari daerah Tawau.
“Tangkapan serta rampasan membabitkan sebuah lori itu kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Rohan Shah berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Akta 670).
“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi Lima Tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Rohan Shah menambah, Polis IPD Lahad Datu kini sedang menyiasat dalang sebenar penyeludupan manusia itu sekali gus membenteras kegiatan ini di masa depan.