62 rumah setinggan sekitar Kota Kinabalu dirobohkan

KOTA KINABALU : Sebanyak 62 rumah setinggan dirobohkan selepas didapati di bina secara haram sekali gus tidak memenuhi syarat keselamatan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perobohan setinggan ini bukan sahaja bertujuan menghapuskan penempatan haram, tetapi ia juga memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk sekitar.

Menurut kenyataan rasmi di laman Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu memberitahu, operasi ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk membanteras jenayah khusus di kawasan ibu negeri.

“Selain itu operasi ini bagi memastikan Pendatang Tanpa Izin (PTI), gejala dadah serta sosial khususnya di sekitar ibu negeri dapat dibenteras sekali gus bebas daripada sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti yang tidak sah.

“Operasi yang dirancang dilaksanakan PDRM IPD Kota Kinabalu, melibatkan kerjasama pelbagai agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Selain itu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam operasi berkenaan.