50 peratus diskaun kadar faedah ditawarkan LPPB – Masiung

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Negeri Sabah (LPPB) menawarkan kadar faedah sehingga diskaun 50 peratus kepada pembeli rumah di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, berkata tawaran ini bermula 1 Julai sehingga 31 Disember merangkumi kepada skim membeli rumah serta tidak terpakai bagi penyewa skim ansuran bulanan.

Katanya, tawaran ini adalah sempena sambutan Ulang Tahun ke-55 LPPB sekali gus perihatin terhadap pembeli rumah kos rendah terkesan kepada perubahan kadar inflasi pada masa kini.

“Tawaran ini sudah pasti memberi kelegaan terutama kepada mereka yang terkesan khususnya dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

“Langkah ini merupakan satu khabar gembira kepada mereka terutama pembeli rumah kos rendah sekali gus dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Hadir merasmikan temasya sukan Kesurep LPPB di sini semalam.

Masiung yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, berkata tawaran ini tidak terpakai untuk transaksi  pembayaran yang telah dibuat sebelum 1 Julai.

“Penghutang sudah menjelaskan kadar bayaran faedah sebelum ini, tidak boleh menuntut kadar pemberian potongan terbabit,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Masiung berkata, penganjuran sukan merupakan satu platfom terbaik dalam menyatupadukan pegawai serta kakitangan di LPPB.