Lima termasuk jurutera PBT Sabah direman berkait rasuah RM200,000

SANDAKAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman lima individu termasuk jurutera, penolong jurutera, kakitangan dan bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menurut sumber mereka dipercayai menerima rasuah kira-kira RM200,000 daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini keatas kelima-lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua Wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah Ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 7 malam semalam.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa pegawai dan kakitangan PBT berkenaan dipercayai telah menerima wang rasuah secara pindahan wang ke akaun peribadi masing-masing sejak tahun 2022 sehingga kini daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di tempat mereka berkhidmat.

“Wang rasuah yang itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender melibatkan kerja-kerja di PBT berkenaan dari tempoh 2022 hingga 2025,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy Ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kelima-lima suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.