478 mangsa terjejas, 113 rumah rosak, roboh akibat ribut

SEMPORNA : Ribut yang melanda empat perkampungan atas air di sini semalam mengakibatkan 497 orang terjejas dengan 113 kediaman rosak serta roboh.

Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata, kampung yang terkesan dalam kejadian yang berlaku pada 3 pagi itu ialah Kampung Selamat, Kampung Sri Aman, Kampung Sejati serta Kampung Batu.

“Sebanyak 102 rumah rosak, 11 rumah roboh termasuk dua masjid dan 20 kenderaan turut rosak manakala mangsa keseluruhan adalah 497 orang.

“Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Program Perumahan Rakyat Bubul Ria dan setakat ini terdapat 59 mangsa ditempatkan di PPS itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga dan bekerjasama dengan agensi terlibat bagi menangani sebarang bencana berlaku di daerah itu.

Sementara itu seorang mangsa Anuar Yakub, 45, berkata kejadian ribut yang berlaku pada 3 pagi itu begitu menakutkan apabila angin pusar puting beliung berada betul-betul di atas rumah mereka hingga mengakibatkan kediaman atas air itu terangkat.

“Ribut yang berlaku pada awal pagi berputar seperti mesin pengisar, saya nampak atap rumah tercabut dan diterbangkan angin, rumah kami seolah ‘diangkat’ sebelum ‘dijatuhkan’ semula ke laut, ia berlaku lebih 10 saat.

“Waktu itu saya, isteri dan tiga anak serta seorang anak buah yang berada dalam rumah hanya mampu berteriak dan berdoa. Apabila rumah saya ‘jatuh’ semula ke laut dan angin berlalu ke tempat lain, kami sekeluarga terus keluar dari rumah, syukur pada waktu itu air laut surut,” kata penduduk Kampung Selamat.