KOTA KINABALU: Seramai 469 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Warganegara Filipina yang ditahan dan di tempatkan di depot Imigresen Tawau di hantar pulang ke negara mereka melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, jumlah itu membabitkan 385 lelaki, 60 wanita yang berumur 13 hingga 82 tahun serta 24 kanak-kanak berumur dibawah 12 tahun.
“Kesemua PATI terbabit ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kita ingatkan agar semua warganegara asing mendapatkan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah sebelum memasuki Negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI selepas mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.