LABUAN : Seramai 27,513 pelajar sekolah rendah dan menengah menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 membabitkan peruntukan RM2.6 juta di Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Rusmini Ku Ahmad berkata, setiap pelajar menerima wang tunai RM150 dilihat mampu membantu ibu bapa meningkatkan motivasi untuk terus mencapai kecemerlangan.
Katanya, langkah ini juga mampu meringankan sedikit beban Ibu bapa menjelang musim persekolahan akan datang.
“Kita yakin bantuan ini mampu memastikan setiap murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan.
“Secara tidak langsung bantuan ini sebagai dorongan untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian empena Majlis Penyerahan Cek Cura BAP 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung di Pusat Ko-Kurikulum Jabatan Pendidikan Negeri, Kampung Ganggarak Labuan.
Rusmini berkata, beliau mengingatkan agar ibu bapa dan pelajar sentiasa mengutamakan pendidikan kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang.
“Kita perlu bekerjasama bagi mengukuhkan lagi kecemerlangan menjayakan agenda pendidikan negara sekali gua mampu melahirkan generasi Madani,” jelas Rusmini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan.
