KOTA KINABALU: Polis menyiasat kejadian melibatkan seorang wanita yang dirakam mengherdik polis di satu sekatan jalan raya (SJR) di sini.
Dalam video yang tular itu wanita tersebut yang dipercayai seorang usahawan dilihat memarahi beberapa anggota polis trafik di SJR di Kepayan dalam kejadian berlaku pada 1 Jun lalu.
Wanita itu dilaporkan berang kerana terpaksa menunggu 30 minit sebelum dimaklumkan kesalahan dilakukannya, iaitu cukai jalan dan insurans kenderaannya tamat tempoh dan tidak diperbaharui sekali gus anggota polis terlibat juga dikatakan menyindir wanita itu.
Ketua Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil wanita itu untuk merakamkan percakapannya dan menambah bahawa timbalan pendakwa raya telah menasihatkan polis supaya membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Kami akan menyiasat kes ini dari kedua-dua sudut, bukan setakat sebelah pihak. Saya tidak akan membuat sebarang andaian.
“Jika anggota saya mengeluarkan kata-kata tidak elok, saya akan mengambil tindakan terhadap mereka. Jika wanita itu mencetuskan pertengkaran maka kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya ketika dalam laporan Portal Online FMT hari ini.
Disoal mengapa polis mendendanya kerana cukai jalan tamat tempoh sedangkan orang ramai tidak dapat memperbaharui dokumen itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), Hazani menjelaskan cukai jalan wanita itu luput sejak Januari lalu.
“Sudah berapa PKP telah kita lalui? Sudah dua kali ditamatkan, jadi logik atau tidak (tidak dapat memperbaharui cukai jalan)?.
“Sekalipun cukai jalan telah tamat tempoh, insurans keretanya patut diperbaharui,” katanya.
Selepas video itu tular, warganet berbelah bagi mengenai tindakan kedua-dua pihak.
Pada satu ketika dalam video itu, seorang anggota polis dilihat cuba menenangkan wanita itu dengan berkata mereka hanya menjalankan tugas, namun wanita terbabit berkeras mengatakan dia juga mahu melakukan tugasnya.
Wanita itu kemudian didengar berkata bahawa dia dalam perjalanan untuk menghantar bantuan kepada golongan susah.
Wanita itu turut dilihat “menyekolahkan” seorang anggota berkenaan mengenai adab bercakap dengan perempuan.
Sebelum masuk semula ke keretanya untuk meninggalkan SJR itu, wanita berkenaan didengar menjerit “biadap” terhadap anggota polis terbabit.
SabahNewsToday