TAWAU: Dua remaja lelaki maut, selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dipercayai ketika sedang berlumba haram di Landasan Lapangan Terbang Lama Tawau, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian 5.30 petang itu, kedua-dua mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal ditunggang mangsa bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan.
“Selain tidak memiliki lesen, ketika kejadian kedua-dua penunggang juga tidak memakai topi keledar dan adalah disyaki mereka terbabit dalam aktiviti lumba haram,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan dalam portal Online Harian Metro hari ini.
Peter berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik sebenar salah sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan berikutan alamat pemilik berdaftar adalah di daerah Semporna.
Katanya, ujian saringan COVID-19 mengesahkan salah seorang mangsa didapati positif wabak itu.
“Bagaimanapun, sampel darah mereka telah diambil untuk dianalisa dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, sejak malam tadi tular di media sosial rakaman menunjukkan kejadian kemalangan membabitkan dua motosikal dengan kedua-dua mangsa masing-masing terbaring di atas permukaan jalan.
Difahamkan, sebelum ini lokasi kejadian kerap digunakan untuk aktiviti dan penganjuran sukan permotoran termasuk “drag race.”