KOTA KINABALU : Seramai 14 individu warga asing ditahan dalam ‘Ops Gegar’ membabitkan dua lokasi berasingan sekitar ibu negeri di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, lokasi pertama, pemeriksaan dijalankan terhadap premis tersebut berjaya menahan 10 warganegara Filipina iaitu membabitkan tiga lelaki dewasa serta tujuh wanita.

Katanya, lokasi kedua berjaya menahan empat lagi individu iaitu tiga wanita warganegara China manakala satu wanita warga Filipina.
“Dalam ‘Ops Gegar’ ini seorang majikan warganegara Malaysia turut ditahan berikutan disyaki menggaji pekerja asing tanpa menggunakan permit yang sah.
“Operasi bermula 8 hingga 12 malam itu menumpukan kepada premis refleksologi dan spa dikenal pasti menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan tenaga kerja asing tanpa dokumen yang sah,” katanya di sini hari ini.

Sitti Saleha berkata, dalam operasi ini beberapa barangan turut dirampas antaranya lesen perniagaan, wang tunai berjumlah RM764 di lokasi pertama.
“Manakala wang tunai juga turut dirampas berjumlah RM800 di lokasi kedua, beberapa dokumen termasuk buku log operasi perniagaan serta penanda magnet.
“Kesemua individu ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa KotaKinabalu untuk proses dokumentasi,” jelas Sitti Saleha.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berikutan semua tangkapan dipercayai melanggar Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Siasatan juga akan merangkumi salah guna pas yang dikeluarkan serta Seksyen 6(1)(c) tiada dokumen pengenalan diri dibawah Akta Imigresen 1959/63.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan dalam menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini,” kata Sitti Saleha.