SANDAKAN: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan selama tiga hari di daerah Sandakan dan Sipitang baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, operasi berkenaan dilaksanakan antara 5 hingga 7 November 2025, melibatkan 20 pegawai imigresen dari Pejabat Imigresen Sandakan dan Sipitang.
“Hasil pemeriksaan ke atas 54 individu, 12 orang PATI ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Pakistan, Filipina dan Indonesia, disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mwnurut kenyataan itu lagi, semua tahanan kini ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil.
Beliau menegaskan, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara.
“JIM Sabah menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing,” katanya lagi.
Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan pihak imigresen dalam mengekang kehadiran PATI di negeri ini, selain memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara menyeluruh.
