KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegur Parti Warisan kerana menyeret institusi Istana Negeri ke dalam permainan politik dan pembohongan mereka.
Beliau berkata, hantaran di media sosial oleh pemimpin Warisan, Datuk Darell Leiking dan Datuk Azis Jamman yang mempersoalkan sambutan rasmi Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Musa Aman jelas berniat tidak baik.
“Sebagai Ketua Menteri, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan institusi Istana tanpa mengira siapa yang menjadi Yang di-Pertua Negeri.
“Jelas sekali, politik telah mengaburi pertimbangan mereka (Darell dan Azis), sehingga tidak dapat membezakan antara Kerajaan, politik dan Istana.
“Institusi Istana adalah bersifat apolitikal dan tidak seharusnya dijadikan alat dalam politik jalanan penuh pembohongan dan penipuan oleh Warisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji menjelaskan bahawa pada awalnya, Musa mencadangkan agar tiada sambutan diadakan tahun ini kerana tarikh rasmi Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT diwartakan pada 30 Mac, yang bertembung dengan perayaan Hari Raya.
“Malah, Musa juga tidak mahu membebankan pihak yang terlibat dalam penganjuran sambutan memandangkan masa yang singkat dan kos yang tidak perlu.
“Namun, sebagai Ketua Menteri, saya merasakan bahawa sebarang keputusan perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri,” katanya.
Menurutnya, selepas perbincangan mendalam, Kabinet bersetuju bahawa sambutan tersebut mesti diadakan tahun ini selaras dengan konvensi dan tradisi Istana.
“Oleh itu, diputuskan bahawa sambutan akan diadakan pada bulan Jun, tetapi secara sederhana seperti yang dikehendaki dan dinasihatkan oleh Tun Musa,” katanya.
Sehubungan itu, jumlah acara dikurangkan daripada 12 pada tahun 2024 kepada hanya tujuh tahun ini, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sekitar 30 peratus.
Hajiji berkata, Darell dan Azis pernah berada dalam kerajaan sebelum ini dan mereka seharusnya tahu apa yang terlibat dalam persiapan Hari Keputeraan TYT.