LABUAN Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua operasi berasingan dijalankan di sekitar Labuan di sini baru baru ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Labuan, Raymond Entalai berkata, 12 wanita adalah merupakan warga Filipina manakala seorang lelaki warganegara Pakistan.
Katanya, kesemua PATI ini ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka kini di tempatkan sementara di balai polis Labuan serta Depot Jabatan Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut.
“Penahanan PATI ini menunjukkan masih terdapat lagi pendatang asing yang masuk ke Labuan tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Raymond berkata, beliau menasihatkan majikan supaya sentiasa mematuhi undang-undang hanya mengambil pekerja asing yang mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana mana wargenagara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah atau yang menyalahgunakan pas dan kemudahan yang diberikan.
“Tindakan pendakwaan juga akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang mengaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan yang sah,” jelas Raymond.
Menurutnya, di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) para majikan didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 tidak lebih RM50,0000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua duanya sekali bagi setiap seorang diambil bekerja.
“Jabatan Imigresen juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana mana pihak yang melindungi pendatang tanpa izin.
“Kita berharap dengan adanya operasi yang dijalankan secara berterusan ini akan dapat mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin khususnya di Labuan,” kata Raymond.