KOTA KINABALU: Seorang pemimpin dari Parti WARISAN (WARISAN) mencadang kerajaan Sabah menubuhkan satu audit bebas bagi menyelesaikan isu bayaran semula bon berjumlah RM1 bilion yang menjadi pertikaian antara kerajaan semasa dengan parti itu ketika mentadbir negeri.
Ketua Bahagian WARISAN Kalabakan, Sarifudin Hata berkata, hanya dengan penubuhan badan bertujuan mengaudit bayaran berkenaan ketika WARISAN dan kerajaan semasa saling mendakwa menyelesaikan hutang tersebut, dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku.
“Audit bebas adalah satu-satunya cara untuk menamatkan spekulasi dan rakyat berhak tahu,” kata bekas pembantu menteri kewangan Sabah itu dalam kenyataan hari ini.
ADUN Merotai itu berkata demikian susulan kerajaan melalui Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal saling mempertahan hujah tentang siapa yang bertanggungjawab menyelesaikan hutang lapuk kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion.
Shafie membangkitkan semula isu bon dalam ucapannya semasa program DSSA bersama warga Cina N. 25 Kepayan baru-baru ini yang mengundang rasa tidak puas hati Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Masidi pula dalam kenyataan menolak dakwaan Mohd Shafie bahawa pentadbiran Warisan sebelum ini berjaya melangsaikan hutang negeri RM1 bilion pada 2019.
Katanya, bayaran balik hutang itu bukan hasil pengurusan kewangan kerajaan WARISAN, sebaliknya pelan terancang dilaksana oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Katanya, bon RM1 bilion dikeluarkan pada Disember 2014 dengan Bank Negara Malaysia mensyaratkan negeri menubuhkan Dana Penampan (Sinking Fund) khas bagi memastikan bayaran balik dapat dibuat.
Di bawah terma bon itu, negeri diwajibkan mendeposit RM200 juta setiap tahun ke dalam dana tersebut selama lima tahun sehingga 2019 dan apabila pentadbiran WARISAN mengambil alih pentadbiran pada 2018, sebahagian besar dana diperlukan untuk pembayaran balik sudah tersedia.
Bagaimanapun, Mohd Shafie dalam kenyataan balas berkata, Masidi cuba menggambarkan bayaran bon itu berlaku dengan sendiri seolah-olah WARISAN tidak berbuat apa-apa semasa mentadbir kerajaan negeri.
Katanya, hanya terdapat RM400 juta dalam Dana Pembayaran Balik Bon iaitu setahun sebelum bon matang, menyaksikan hanya 40 peratus daripada apa yang diperlu untuk membayar balik prinsipal bon (belum termasuk faedah yang jika dikira keseluruhan melebihi RM1 bilion).
Jelasnya, ini bercanggah dengan kenyataan Masidi yang BN diwajibkan memperuntukkan RM200 juta setahun ke dalam Dana Pembayaran Balik Bon dari 2014 hingga 2019, jauh sekali memperuntukkan RM1 bilion.
Katanya, pada 2018, baki utama yang masih perlu dibayar adalah RM600 juta yang perlu dicari dalam tempoh beberapa bulan.
Melalui pengurusan kewangan berhemat, kawalan kos dan pengagihan semula sumber, WARISAN meningkatkan Dana Pembayaran Balik Bon daripada RM400 juta kepada RM1 bilion dalam tempoh setahun bagi memastikan bon itu dapat lunas sepenuhnya mengikut jadual.
Bagaimanapun, katanya, bon itu menimbulkan persoalan besar kerana Masidi ketika masih ahli Kabinet BN ketika itu tidak menjelaskan kewajaran penggunaan RM1 bilion bon dan sama ada rakyat Sabah mendapat manfaatnya.
Dalam pada itu, Sarifudin berkata, rekod yang Masidi sebut dalam kenyataannya sebelum ini bersifat terpilih (cherry-picked).
“Jumlah tersebut memang pernah dibentang dalam belanjawan tetapi dibentang tidak bermakna ia benar-benar diperuntuk dan dimasukkan ke dalam dana.
“Bukti jelas ada pada baki sebenar dana pada 2018 yang jauh lebih rendah daripada jumlah diperlukan. Angka ini termaktub dalam rekod yang tidak didedah kepada umum tetapi diketahui pihak berwajib,” katanya.
Beliau menuntut kerajaan menjelaskan secara telus ke mana hasil bon itu dibelanja kerana selagi tidak berbuat demikian, hal berkenaan akauntabiliti hanya bersifat ‘omong-kosong’.
“Jika menteri yakin setiap sen dibelanja di Sabah, maka dedahkan senarai penuh projek, lokasi, kontraktor dan penerima manfaat,” katanya.
Beliau mendakwa, GRS kerap berdolak-dalih menjawab soalan di DUN khususnya berkaitan dana awam.
“Daripada menjawab terus, mereka berselindung di sebalik frasa seperti ‘kami akan mengkaji perkara ini’ atau jawapan bertulis akan diberi,” katanya.
Beliau turut mencabar kerajaan membahas isu tersebut secara terbuka dalam persidangan DUN Sabah tanpa berselindung di sebalik kenyataan media.
“Jika benar anda yakin dengan fakta, tidak ada sebab untuk takut berdebat di dalam Dewan,” katanya.
