TAWAU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 61 lelaki warga asing dipercayai masuk sebagai pelancong ditahan dalam Operasi Mahir di Pulau Bum-Bum serta Mataking di sini semalam.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua ditahan selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bekerja di sektor pembinaan di Semporna.
Katanua, antara ditahan tersebut iaitu 36 warganegara China dan 25 Filipina berumur antara 19 hingga 64 tahun dalam operasi bermula jam 7.45 pagi sehingga 3 petang.
“Mereka pemegang pas lawatan sosial separutnya menjadi pelancong. Imigresen mengesan mereka salah guna pas dengan bekerja di tapak pembinaan untuk membuat resort di perairan Semporna.
“Mengikut tempoh pas tersebut sepatutnya pulang ke negara asal pada bulan Mei lalu tetapi tinggal secara lebih masa sehingga Ogos,” katanya di sini hari ini.
Sh Sitti Saleha berkata berkata, operasi ini dilakukan selepas menerima aduan awam berhubung warganegara asing yang bekerja di kawasan berkenaan.
“Kita sedang mengesan majikan serta pemilik premis atau tanah berkenaan untuk siasatan di bawah Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka ditahan ini atas kesalahan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39(b) iaitu Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelas Sh Sitti Saleha.
Menurutnya, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau bagi siasatan dan tindakan lanjut.