Tiket penerbangan Kota Kinabalu – Kuala Lumpur tidak masuk akal – Awang Aslee

KOTA KINABALU : Isu harga tiket penerbangan didakwa terlalu mahal disifatkan ‘Tidak Masuk Akal’ khususnya bagi perjalanan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur terutama pada musim cuti sekolah atau hari perayaan sekali gus dilihat sangat membebankan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kenaikan harga ini beliau sifatkan ‘Sangat Tidak Logik’ sehingga mencecah harga melebihi RM2,000 bagi satu hala adalah tidak munasabah.

Katanya, harga ini sudah tentu sangat membebankan pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini khususnya kepada golongan berpendapatan rendah melibatkan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Terutama pada musim perayaan, ramai kalangan pelajar atau keluarga berpendapatan rendah berada di Semenanjung akan balik ke kampung halaman berkemungkinan akan membatalkan hasrat berikutan terbeban dengan kenaikan harga yang tidak munasabah ini.

“Jika berlakunya sebarang kecemasan adakah pengguna ini mampu membeli tambang penerbangan secara serta-merta sedangkan harga dijual di kaunter jauh lebih mahal berlipat kali ganda berbanding secara online,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Awang Aslee yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Beaufort berkata, rakyat Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pilihan terpaksa hanya bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan penerbangan udara bagi menjalankan urusan di Semenanjung sana.

“Fikir dulu soal kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak….Kami tiada pilihan lain, perlu menggunakan perkhidmatan udara ke Kuala Lumpur, jangan naikkan harga tiket penerbangan kerana ia terlalu membebankan rakyat di kedua-dua negeri ini.

“Saya sependapat dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin supaya Kerajaan menyemak semula kadar tambang tiket penerbangan ini agar semua rakyat di Sabah dan Sarawak dapat membeli pada kadar harga yang munasabah,” jelas Awang Aslee.

Dalam tempoh sama beliau mahu agar Kementerian Pengangkutan melihat perkara ini secara lebih serius jangan sampai membebankan rakyat Sabah terpaksa berbelanja lebih tinggi untuk membeli tiket penerbangan dalam ekonomi negara yang semakin mencabar ketika ini.

“Kementerian juga perlu menyemak semula kadar harga tiket bagi perjalanan udara Sandakan, Tawau dan Lahad Datu juga mengalami kenaikkan harga yang tidak masuk akal. Kebajikan pengguna pun perlu ambil perhatian selaras dengan slogan Malaysia Madani,” tambah Awang Aslee.