TAWAU : Seorang wanita menjadi mangsa curi telefon bimbit jenis iPhone 13 oleh tiga individu yang menyamar sebagai pembeli di kawasan perumahan Batu 8, Jalan Apas, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, mengesahkan kejadian berlaku sekitar 12.26 tengah malam. Seorang suspek mendekati mangsa dengan menunjukkan bukti transaksi pembayaran yang didakwa telah dibuat ke dalam akaun ibunya.
“Mangsa, percaya dengan bukti tersebut, akhirnya menyerahkan telefon bimbitnya kepada suspek.
“Namun, setelah mengesahkan dengan ibunya, mangsa mendapati tiada sebarang transaksi diterima.
“Ketika cuba meminta suspek keluar dari kenderaan untuk mengambil gambar sebagai bukti, suspek memberi alasan tidak sihat dan memohon untuk segera beredar dan kemudiannya pemandu memecut kenderaan dan melarikan diri bersama telefon tersebut”, katanya.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau telah melancarkan operasi. Mereka berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia 32 dan 42 tahun, serta seorang wanita warga asing berusia 30 tahun sekitar 1.00 petang.
Pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau. Tambahan pula, seorang lagi suspek lelaki berusia 33 tahun ditahan pada 2.00 petang, dan sebuah iPhone 13 yang dipercayai barang curi turut dirampas.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala wanita tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jasmin menegaskan kepentingan keselamatan dalam urusan jual beli secara dalam talian.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika bertransaksi dan memastikan semua langkah keselamatan diambil.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk selalu memeriksa bukti pembayaran dengan teliti sebelum menyerahkan barangan berharga.
