TEKUN Nasional terima peruntukan RM330 juta dalam Belanjawan 2024 untuk pembiayaan peniaga kecil batik dan kraf

KUALA LUMPUR: Tekun Nasional menerima peruntukan sejumlah RM330 juta dalam Belanjawan 2024 untuk kemudahan pembiayaan peniaga-peniaga kecil dalam perusahaan batik dan kraf, usahawan orang Asal serta bumiputera Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, RM30 juta diperuntukkan bagi kemudahan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) khusus untuk usahawan komuniti India.

“Melalui inisiatif belanjawan ini, saya berharap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan terus berdaya saing dan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

“Dengan tambahan peruntukan kepada TEKUN Nasional, diharap agar lebih ramai usahawan informal dan mikro yang baru memulakan atau mengembangkan perniagaan dapat dibantu dan dibangunkan kapasiti mereka,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ke-25 Tahun TEKUN Nasional, di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), semalam.

Ewon berkata, dalam Belanjawan 2024, secara keseluruhannya sebanyak RM44 bilion diperuntukkan kepada pelbagai agensi bagi pelbagai kemudahan dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS, di seluruh negara.

“Kerajaan menyedari terdapat perniagaan yang terjejas akibat pandemik, terutama PMKS selaras dengan itu Belanjawan 2024 telah memberi lebih tumpuan kepada kumpulan PMKS.

“Iltizam Kerajaan MADANI adalah untuk merangsang lebih banyak penyertaan PMKS dalam sektor keusahawanan berdaya maju dan mapan menerusi pelbagai ikhtiar seperti dana pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan sumbangan PMKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dapat dipertingkatkan seperti yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) iaitu peningkatan 50 peratus pada 2030,” katanya.

Beliau berkata, antara strategi kementeriannya untuk merealisasikan DKN2030 ialah menerusi Pelan Pemformalan Usahawan Informal bagi memudah cara inisiatif migrasi usahawan informal kepada perniagaan berdaftar.

“Melalui pelaksanaan pelan itu, ekosistem keusahawanan sedia ada dapat diperkasakan dengan menggalakkan pendaftaran perniagaan secara sukarela serta memupuk minda keusahawanan dan pembangunan potensi usahawan informal,” katanya.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 usahawan dan warga kerja Tekun Nasional dari seluruh negara.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya kepada 21 usahwan Tekun, Anugerah TEKUN Cawangan Terbaik dan Anugerah TEKUN Negeri Terbaik.

Turut hadir, Timbalan Menteri KUSKOP Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdul Sani Abdul Hamid.