KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor meminta agar Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rochas memperbetulkan tanggapan salah kesatuan itu mengenai industri kelapa sawit di negara ini.
Katanya, ini selepas Rochas melihat sendiri bagaimana sektor kelapa sawit di Sabah dikendalikan dengan baik terutama dengan sistem pengeluarannya yang mampan serta mesra alam.
Hajiji berkata, Sabah selama ini mempromosikan amalan lestari dalam sektor penanaman sawit dan ianya bertentangan dengan apa yang disebarkan dalam kempen anti minyak kelapa sawit oleh EU terhadap minyak sawit Malaysia.
Kesediaan dan komitmen Rochas untuk mengubah tanggapan buruk terhadap industri minyak kelapa sawit Malaysia itu disuarakan kepada Hajiji dalam satu kunjungan hormat kepada ketua menteri di kediaman rasminya, di Sri Gaya, dekat sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Hajiji turut memberi penghargaan kepada EU susulan pelaburan dibawa mereka ke negeri itu yang berjumlah RM4.2 bilion (RM3.3 bilion dalam eksport dan RM800 juta dalam import).
“EU merupakan rakan pelaburan penting dan kita mahu melihat lebih banyak pelaburan pada masa akan datang.
“Selain itu, kerajaan negeri juga sedia menjalinkan kerjasama kukuh dengan EU bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan selepas kunjungan itu, hari ini.
Sementara itu, Rochas bersetuju banyak negara dalam EU selama ini telah membuat tanggapan yang salah terhadap industri minyak kelapa sawit dan ianya perlu diperbetulkan.
Ketika berada di Sabah, Rochas turut berpeluang melawat ladang milik Sawit Kinabalu dan akui negeri ini telah melakukan yang terbaik dalam memelihara alam semula jadi.
“Saya melihat sendiri dan amat memujinya (usaha memulihara alam semula jadi), saya sangat teruja apabila melihat kehadiran orang utan bersama bayinya walaupun daripada jauh.
“Hasil tinjauan menerusi udara juga menunjukkan banyak sarang orang utan di atas pokok ini menunjukkan semuanya baik untuk hidupan liar tapi EU belum mengetahui mengenai perkara ini.
“Saya akan meyakinkan kepada Brussels (ibu pejabat EU) nanti,” katanya.