Sambutan Maal Hijrah disambut sederhana, penuh kesyukuran

KUALA LUMPUR: Selama dua tahun berturut-turut, Maal Hijrah 2021/1443 disambut dalam suasana cukup sederhana namun penuh kesyukuran meskipun negara masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19.

Bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti,’ sambutan tahun baharu Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam dalam mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.

Di PUTRAJAYA, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam mendepani pandemik COVID-19 dan bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta.

Dalam titah baginda secara hidbrid sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan hari ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.

Di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berharap kedatangan tahun baharu Islam mengurniakan umat Islam dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan COVID-19 menerusi PPN yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.

Muhyiddin juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat terus dihayati dan disemarakkan oleh umat Islam di negara ini walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik itu.

Hari ini turut menyaksikan bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan manakala Setiausaha Agung Rabitah Al-‘Alam Al-Islamiy Makkah Al-Mukarramah, yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

– BERNAMA