Sabah bakal ada hospital IJN sendiri di Likas

KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), dan IJN hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata hospital jantung pertama di Sabah itu akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas.

Beliau berkata, projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan akses rakyat kepada rawatan kesihatan khususnya bagi penyakit kardiovaskular.

“Penubuhan hospital ini penting untuk memastikan rakyat Sabah mendapat perkhidmatan rawatan jantung yang lebih dekat, cepat dan berkualiti,” katanya ketika menyaksikan majlis menandatangani MoU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya, berkata kemudahan itu akan membantu mengurangkan keperluan pesakit Sabah mendapatkan rawatan di luar negeri.

Katanya, ia juga mampu mengurangkan beban kos perjalanan dan mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.

Menurut beliau, hospital itu akan turut menyokong kapasiti perkhidmatan sedia ada di Pusat Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II.

Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pula berkata pembinaan hospital berkenaan tepat pada masanya memandangkan penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia.

Beliau berkata, Sabah juga berpotensi muncul sebagai hab baharu dalam pelancongan kesihatan menerusi pembukaan hospital itu.

Pada majlis sama, satu lagi MoU dimeterai antara UCSF dan IJN University College bagi memperkukuh pembangunan modal insan dalam bidang kesihatan.