MENUMBOK: Sejumlah RM18,000 disalurkan kepada Persatuan Penambang Bot Laju Menumbok Sabah (PPBLM) untuk meringankan beban mereka akibat kehilangan punca pendapatan ekoran penularan pandemik COVID-19.
Antara penyumbang tersebut termasuklah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah sebanyak RM13,000 serta Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) iaitu RM5,000.
Selain itu beberapa sumbangan bakul makanan disalurkan kepada PPBLM daripada Yayasan Dakwah Islam Malaysia Cawangan Sabah (YADIM) serta syarikat SR Events Production Sharom Abd. Ghaffar.
Sementara itu Pengerusi PPBLM Mohamad Sait berkata, sumbangan ini sudah tentu memberi kelegaan kepada ahlinya selepas tidak beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sejak penguatkuasaan (PKP) pertama dan kedua tahun lalu PPBLM sangat terkesan meskipun masih boleh beroperasi tidak sepenuhnya.
“Sumbangan mereka ini sangat dinantikan bagi meringankan beban seramai 130 orang ahli PPBLM…tidak dilupakan kepada beberapa individu yang tampil bagi menghulurkan bantuan ini,” katanya.
Mohammad berkata, sumbangan “One Off” di bawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini dikenalpasti mengelakkan ahli PPBLM tidak tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli persatuan serta keluarga mereka yang mana sangat bergantung kepada sumber pendapatan melalui perkhidmatan bot penambang ini,” katanya.
Turut hadir dan menyampaikan sumbangan tersebut Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury; Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) Samin Ongki dan Pengurus Besar Perbabanan Baitulmal Negeri Sabah Salman Nurilah.
SabahNewsToday