Petronas, kerajaan negeri Sabah jalin kerjasama bangunkan sumber bakat lestari

KOTA KINABALU: Petronas hari ini melancarkan Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-Petronas (HCDA) untuk mempergiat inisiatif bersama dengan kerajaan negeri dan menghimpun kerjasama lebih besar dalam kalangan pihak berkepentingan bagi membina sumber bakat lestari.

Petronas dalam kenyataan hari ini memaklumkan HCDA akan mewujudkan rangka kerja inisiatif yang tersusun dan inovatif bagi menyokong bakat Sabah melalui pelbagai peringkat pembelajaran bagi mencapai potensi penuh mereka dalam menyumbang ke arah kemajuan negeri khususnya untuk sektor tenaga.

Agenda itu dibentangkan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Kedua Negeri oleh Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada majlis pelancaran HCDA di sini.

Menurut kenyataan itu, Mohd Bakke berkata Petronas akan bekerjasama dengan Sabah bagi mewujudkan ekosistem pembangunan modal insan ke arah membina sumber bakat yang teguh untuk pertumbuhan negeri dalam landskap tenaga.

“Melalui pelancaran HCDA, kami berharap dapat memupuk ekosistem yang secara efektif menanam minat, menyediakan peluang saksama dan memajukan kepakaran bakat Sabah. Dengan program dan fasiliti yang disediakan, saya yakin lebih ramai lagi bakat Sabah akan bangkit untuk menyokong aspirasi tenaga Sabah,” katanya.

Memfokus kepada pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), HCDA bertujuan memupuk bakat yang berpengetahuan serta berkemahiran untuk menyokong penyampaian matlamat sosial, ekonomi dan kelestarian di Sabah.

Petronas turut mengumumkan bahawa lebih 100 pelajar terbaik SPM 2021 di Sabah telah ditawarkan Program Penajaan Pendidikan Petronas tahun ini.

Sejak 2003, sejumlah 568 pelajar cemerlang Sabah, termasuk 177 orang yang berada dalam program itu, menerima manfaat daripada penajaan bernilai RM53.2 juta untuk mengikuti pelbagai mata pelajaran di UTP dan universiti terkemuka lain sama ada di dalam mahupun luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pula berkata HCDA merupakan komitmen utuh Petronas untuk menyumbang semula kepada Sabah secara holistik dan menyeluruh dari segi pembangunan keupayaan serta modal insan.

Beliau berkata tajaan Petronas akan membuka peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di universiti berprestij tanah air serta di luar negara, dan Sabah melalui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada agenda itu.

“Bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan agenda ini, seluruh ekosistem perlu bersatu dan bergabung tenaga demi memastikan program dijalankan seperti yang dirancang, dan kita sentiasa bersedia memberi dan menerima maklum balas untuk penambahbaikan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Hajiji berkata HCDA juga merupakan agenda penting Petronas dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan modal insan untuk menaik taraf sosioekonomi penduduk setempat sekali gus membantu pembangunan Sabah terutama dalam penyediaan tenaga kerja mahir.

— BERNAMA