KOTA KINABALU: Sabah masih memerlukan peruntukan lebih besar bagi meringankan krisis kesihatan sekali gus menuju ke arah pemulihan ekonomi di masa depan.
Datuk Christina Liew berkata, kerajaan persekutuan perlu melihat perkara ini dalam konteks lebih besar agar projek pembangunan infrastruktur dapat dijalankan.
Katanya, sehingga kini Jabatan Perangkaan negeri Sabah merekodkan kadar kemiskinan mutlak sekitar 25.3 peratus pada tahun 2020 berbanding hanya 19.5 peratus pada tahun 2019.
“Sabah berhadapan dengan kekurangan kewangan untuk projek mitigasi banjir (contohnya, mendalamkan atau pengorekan sungai) dan langkah-langkah memulihkan tanah runtuh.
“Sabah perlu menambah baik sistem pengaliran di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang terdedah kepada banjir serta kawasan termasuk Likas, Kolombong, Inanam, Telipok, Menggatal dan Sepanggar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 hari ini.
Christina berkata, beliau percaya sudah tiba masanya untuk mengadakan semakan pantas ke atas pelbagai sistem yang pernah dicadangkan atau disebutkan sebelum ini.
“Kita boleh memfokuskan pada model niaga bas sedia ada kepada pengangkutan awam yang mampu menaiktaraf sistem bas transit laju (BRT) untuk Kota Kinabalu yang diumumkan pada tahun 2015,” katanya.