Pencapaian PPN perlukan sokongan semua pihak – Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pencapaian Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Malaysia keluar daripada  kemelut pandemik COVID-19 bergantung kepada sokongan semua pihak memandangkan ia perlu pendekatan secara menyeluruh  dan bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Perdana Menteri berkata semua pihak termasuk kerajaan, rakyat, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain pihak mesti bekerjasama dan memberikan sokongan bagi menjayakan PPN yang merupakan  strategi peralihan keluar daripada krisis kesihatan yang melanda negara sejak Mac tahun lepas.

“Kalau nak sebutkan sama ada negara tak berjaya, we are just starting (kita baharu memulakan) untuk melancarkan Pelan Pemulihan Negara dan pelan ini tak boleh selesai dalam masa seminggu, kesan tidak dapat dinilai dalam masa sebulan, ia akan mengambil masa untuk kita nilaikan.

Ia mengambil suatu masa yang panjang dan menyakitkan tetapi saya percaya dan berkeyakinan kita akan berjaya melepasi ujian ini. Berikan kerajaan peluang untuk mengatasinya,” katanya dalam wawancara khas bersama media, di sini hari ini.

PPN, yang diumumkan Muhyiddin pada 15 Jun lepas, merangkumi empat fasa yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Ia berpandukan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya iaitu melibatkan keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tahap populasi dilindungi dengan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Muhyiddin berkata Malaysia adalah antara negara pertama yang mengemukakan pelan pemulihan secara menyeluruh dan untuk itu, kerajaan perlu proaktif dalam menyediakan satu kerangka dan dasar yang teratur bagi memastikan negara berada di landasan yang tepat.

Menurut perdana menteri, negara kini berhadapan dengan situasi yang dinamik dengan kemunculan varian baharu dan memerlukan kerajaan untuk menguruskannya dengan pantas, sistematik dan telus.

Ia termasuk meningkatkan pemberian vaksin terutama di kawasan Lembah Klang yang 50 peratus daripada bilangan kes harian COVID-19 harian adalah dari Selangor dan Kuala Lumpur.