Penangguhan bina CIQ Kalabakan menidakkan peluang pembangunan ekonomi Sabah – PERKASA

KOTA KINABALU: Penangguhan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Serudong-Kalabakan bersandarkan alasan bahawa tidak ada peruntukan daripada Kementerian Kewangan seperti menidakkan peluang pembangunan ekonomi negeri ini.

Presiden Persatuan Kebajikan Anak-Anak Semporna, Sabah (PERKASA) Dr Sulaiman Tahajuddin mencadangkan agar keputusan menangguhkan pembinaan CIQ tersebut perlu dilihat semula disebabkan ia penting dalam menjana pembangunan khususnya di kawasan tersebut.

Menurutnya di zaman moden ini, Singapura dilihat sebagai sebuah negara disebabkan ia memiliki sempadan yang diiktiraf dunia dan jika ditelusuri sejarah suatu ketika dahulu Singapura itu juga beroperasi seperti CIQ pada skala lebih besar.

“Tanpa sumber alam dan hasil bumi yang menjadi sumber kekayaannya, Singapura berkembang dan memiliki kekayaan yang lebih tinggi dari Malaysia berdasarkan kepada nisbah penduduknya,” dalam satu kenyataan, hari ini.

Penangguhan projek CIQ seperti dimaklumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam persidangan Parlimen, baru-baru ini.
Sulaiman berkata Kalimantan Timur bakal menyedut hasil ekonomi negara bersempadan dan berdekatan dengan Indonesia.

“Jika kita lewat bertindak, kita akan ketinggalan. Semoga rakyat negara ini khususnya yang tinggal di Sabah dan Sarawak tidak pantas melewati sempadan negara hanya kerana kemakmuran ekonomi negara tetangga,” katanya.