Pemuda PAS Sabah saran SOP wajib dua dos vaksin petugas korban dilonggarkan

SANDAKAN : Pemuda PAS Sabah memohon agar kerajaan negeri melonggarkan syarat bagi melaksanakan ibadah korban di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Zulzaim Hilmee Abidin berkata kelulusan sebelum ini mewajibkan mengambil dua dos vaksin bagi petugas ibadah korban memandangkan terdapat kekangan yang dihadapi oleh petugas memenuhi syarat berkenaan.

Katanya, pihaknya berpandangan syarat berkenaan terlalu sukar untuk dipenuhi memandangkan kesuntukkan masa untuk sambutan Hari Raya Aidil Adha.

“Kita mengetahui SOP kedua-dua dos suntikan itu memerlukan tempoh tiga minggu antara dua dos….Majoriti petugas korban adalah terdiri daripada anak muda yang rata-ratanya masih belum menerima satu dos vaksin.

“Memandangkan situasi semasa memerlukan mereka menunggu giliran serta mendahulukan petugas barisan hadapan dan golongan berisiko seperti warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Zulzaim berkata, melihat ketetapan ini sebagai syarat utama bagi petugas sudah tentu akan menambah kekangan ibadah korban dilaksanakan disamping pelaksanaan SOP yang lain.

“Saranan ini juga bersesuaian dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kewajipan vaksin dua dos hanya sesuai dijadikan syarat sesuatu aktiviti sekiranya komuniti telah mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus masyarakat telah menerima vaksin,” katanya.

“Kita berharap saranan ini diterima sekali gus melancarkan penganjuran ibadah korban disamping pematuhan SOP lain seiringan dengan usaha kerajaan mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat,” katanya.

SabahNewsToday