Pelantikan Tun Musa Aman mampu mencapai misi kemajuan, kemakmuran rakyat di Sabah – Christy

KOTA KINABALU : Parti Harapan Rakyat Sabah yakin pengalaman luas dimiliki Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman sebagai bekas Ketua Menteri mampu memimpin Sabah ke arah kemakmuran pada masa depan.

Setiausaha Agungnya, Christy Chok berkata, kerjasama penuh kalangan kerajaan negeri, pelantikan Musa mampu membawa Sabah mencapai visi kemajuan dan kemakmuran serta memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Tun Musa Aman diatas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.

“Pelantikkan itu pastinya mengutamakan perpaduan dalam kalangan rakyat di bawah kerangka sistem berperlembagaan dan demokrasi diamalkan di negara ini

“Ia sekali gus turut mengekalkan kestabilan politik yang tetap menjadi keutamaan dalam proses tadbir urus dan pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christy berkata, beliau menyifatkan Musa yang berusia 73 tahun sebagai seorang pemimpin yang memiliki pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran.

“Pencapaian dilalui Tun Musa Aman turut membuktikannya sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman mendalam dalam pentadbiran dan kepimpinan.

“Harapan Rakyat juga merakamkan penghormatan dan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Negeri pada 31 Disember ini,” jelas Christy.

Menurutnya, sumbangan cemerlang Juhar sepanjang tempoh perkhidmatannya meninggalkan kesan yang mendalam kepada sejarah.