Ops Gegar: 21 warga asing ditahan di pusat hiburan di Penampang, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU : Seramai 21 warga asing ditahan dalam serbuan operasi ‘Ops Gegar’ melibatkan dua pusat hiburan di lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemeriksaan ke atas lokasi pertama berjaya menahan tujuh warga asing terdiri daripada satu lelaki warganegara Filipina serta enam wanita warga Vietnam.

Katanya, pada lokasi kedua, seramai 14 individu ditahan terdiri daripada dua lelaki serta lima wanita warga Filipina termasuk lima lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

“Operasi Ops Gegar bermula jam 12.00 tengah malam tadi turut merampas beberapa barangan, termasuk lesen perniagaan, wang tunai berjumlah RM3,957 di lokasi serbuan pertama.

“Kita juga turut merampas dokumen perjanjian sewaan premis serta dua buku catatan di lokasi operasi. Kesemua individu ini ditahan untuk siasatan lanjut serta proses dokumentasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sitti Saleha berkata, kesemua mereka ini dipercayai telah melanggar Peraturan 39(b) iaitu Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 salah guna pas yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Seksyen 6(1)(c) berkait rapat kesalahan tiada memiliki dokumen pengenalan diri serta Seksyen 15(1)(c) didapati tinggal lebih masa dibawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pendatang asing tanpa izin atau mana-mana premis menggaji warga asing secara tidak sah untuk tampil menyalurkan maklumat,” jelas Sitti Saleha.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa serta memindah warganegara asing didapati melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Kesemua kesalahan itu termaktub di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Setakat ini, seramai 8,134 orang telah diperiksa manakala tangkapan melibatkan seramai 1,271 orang dan pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal seramai 2,472 orang,” kata Sitti Saleha.

Belaiu menambah, pihaknya akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan serta keselamatan negara, memastikan hanya individu mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di negeri ini.