Melunaskan tuntutan peruntukan 112C bukan retorik politik, tawaran BERSATU kepada rakyat Sabah

KOTA KINABALU : Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat tersilap besar jika menganggap tawaran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melunaskan tuntutan rakyat Sabah khususnya iaitu mengembalikan 40 peratus kutipan bersih hasil Negeri Sabah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Muhammad Affan Jumahat berkata, tawaran baharu Muhyiddin itu dilihat adalah berdasarkan Perkara 112 C, Bahagian 4, Bahagian ke-10 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, cadangan ini dikemukakan Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Ronald Kiandee semasa sesi penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2024.

“Ini membolehkan agar BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) Perlembagan dipersetujui Muhyiddin Yassin pada hari yang sama membuktikan ini bukan retorik politik.

“Tetapi merupakan komitmennya untuk menjadikan BERSATU parti Peneraju Politik Abad ke-21 sekali gus bersifat inklusif dan menerajui agenda Perdamaian Nasional (National Reconciliation) seperti beliau ucapkan semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden BERSATU,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Affan berkata, Ronald menyatakan sehingga kini, tiada satu pun Kerajaan Persekutuan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Ini khususnya dalam mengembalikan bayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah termasuk kerajaan perpaduan dibawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenyataan dikeluarkan Bung Moktar pada 2 Disember lalu mendakwa bahawa salah satu tuntutan iaitu mengembalikan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya direalisasikan selepas 2018, selaras janji dibuat Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri waktu terbabit,” jelas Muhammad Affan.

Menurutnya, bagaimanapun Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU14 dan jika menang kemungkinan 40 peratus daripada kutipan bersih hasil ini akan dibayar.

“Hakikatnya Bung Moktar tidak ingat bahawa pada 7 Julai tahun 2022, dia pernah memperlekehkan tuntutan rakyat Sabah mengenai 40 peratus hasil ini dengan mengatakan negara berisiko muflis jika 40 peratus hasil dikembalikan kepada Sabah.

“Sehingga hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan juga tidak menunaikan tuntutan Perkara 112C ini,” kata Muhammad Affan.

Pada masa sama kerajaan masih keliru mengenai peruntukan wajib diberikan kepada negeri-negeri seperti termaktub dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan, iaitu pemberian wajib kepada negeri-negeri seperti berikut.

“Pertama Geran Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pemberian Bilangan Orang 2002.

“Kedua Geran Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) di bawah Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Ketiga Geran Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup di bawah Perkara 109(6) Perlembagan Persekutuan,” tambah Muhammad Affan.

Beliau berkata, tidak seperti kerajaan BN dan PH, cadangan agar BERSATU dan PN menjadi kerajaan menghormati serta  menunaikan tuntutan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“Secara tidak langsung BERSATU menjadikannya sebagai salah satu tawaran utama dalam Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Ini sekali gus dipersetujui oleh Presiden BERSATU serta diluluskan secara sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada, 1 Disember lalu,” ujarnya.