KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu melaksanakan janji mereka untuk mengambil tindakan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk menghantar pulang mengikut janji dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Azhar Matussin berkata, kerajaan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menunaikan janji mereka Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 baru-baru ini.
Katanya, dalam masa 100 selepas mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah sudah tibanya isu ini menjadi keutamaan mereka.
“Saya mengharapkan tindakan prihatin serta proaktif dalam menghadapi isu-isu sebegini sekali gus menyelesaikan isu ini dengan menghantar balik PTI.
“Berkaitan dari sudut pembangunan kemudahan, ekonomi, dari keselamatan dan dari pendidikan untuk menghadapi kehidupan yang semakin menekan akibat Pandemic COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian membahaskan Bajet 2022 Sabah dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.
Azhar berkata, Sabah mencatatkan 10 daerah termiskin di Malaysia dilaporkan lapan adalah Pitas; Kudat; Kota Belud; Kota Marudu; Beluran; Telupid, Tongod dan Nabawan.
“Sungguh luar biasa. Sabah adalah negeri yang terkaya, menjadi negeri termiskin. Tidakkah kita merasa sedih.
“Tidakkah kita merasa malu? Tidakkah kita tercabar untuk membangun rakyat memberi kepercayaan serta pengharapan kepada kita sebagai wakil mereka,” katanya.
Menurutnya, baru-baru ini beliau menyaksikan kesan tindakan merobohkan rumah di kawasan setinggan di Kampung Cenderamata Likas.
“Seorang ibu adalah ahli RELA duduk menangis bila rumahnya diroboh. Pandemik belum pun berakhir. Pegawai RELA adalah diantara frontliners yang penting dan genting.
“Berpanas berembun. Mengancam nyawa sendiri berhadapan COVID-19….Tiada pencen. Tiada kelebihan seperti yg diberikan kepada pegawai kerajaan yang lain.
“Saya sama sekali tidak mempertikai kepentingan undang undang. Saya juga tidak mahu membidas kakitangan atau penguatkuasa kerajaan yang menjalankan tugas,” katanya.
Azhar berkata, beliau menyatakan tiada halangan sekiranya perobohan dilakukan keatas rumah pendatang tanpa izin.
“Sepatutnya kerajaan perlu mencari jalan untuk memastikan warganegara yang yang terlibat tidak terpinggir seperti yang dinyatakan dalam ucapan bajet
“Ketua Menteri ada menyebut Sabah ini tidak akan maju dalam erti kata sebenar sekiranya masih ada warganya yang terpinggir,”
katanya.
Dalam perkembangan sama Azhar turut melahirkan perasaan bimbang berkaitan gejala dadah semakin meruncing dalam kalangan belia di negeri ini.
“Mereka yang di tahan dimasukkan ke penjara dan dibebaskan selepas satu jangka masa. Ramai yang tidak di hantar ke pusat pemulihan.
“Baru baru ini seorang remaja berumur 32 tahun menendang serta memecahkan pintu kaca rumah keluarganya.
“Ujian hospital mengesahkan kencingnya mengandungi dadah. Keluarganya meminta polis menghalangnya pulang ke rumah. Oleh sebab, dia memiliki kad kuning dari Hospital Mesra, polis tidak mau mengambil tindakan,” katanya.