SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan kedudukan bekalan barang keperluan khususnya gula.
Seramai 17 pegawai penguatkuasa dan lapan Pegawai Pemantau Harga di KPDN Cawangan Sandakan terbabit secara khusus bagi melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan pengguna berbelanja di Sandakan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata pemeriksaan bekalan gula di sebuah gudang pemborong barang hari ini dijalankan bersama empat orang pegawai penguatkuasa KPDN.
“Hasil pemeriksaan secara keseluruhannya mendapati bekalan semasa gula paket 1 kilogram (kg) adalah sebanyak 122.628 metrik tan (MT). Pemeriksaan selanjutnya juga mendapati bekalan gula paket 1kg sebanyak 358.56 MT dijangka akan tiba di Sandakan pada 19 Disember ini.
“Sehubungan itu, para pengguna di daerah ini dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik memandangkan bekalan gula adalah mencukupi,” katanya.
Menurut beliau, bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum tidak terputus serta dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan, KPDN Sandakan mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kumpulan “WhatsApp” bersama Peruncit Terpilih Daerah (Dedicated District Retailer-DDR).
Jelasnya, melalui langkah itu, KPDN Sandakan dapat memantau situasi bekalan barangan kawalan terbabit di setiap DDR yang dilantik di peringkat bandar dan luar bandar Sandakan.
Selain daripada itu, katanya, KPDN juga akan membuat pemeriksaan mengejut secara berkala di setiap DDR yang dilantik.
Untuk rekod, sepanjang Januari hingga kini, KPDN Sandakan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 6,508 premis perniagaan yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar.
Daripada jumlah itu, sebanyak 181 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM3.06 juta.
Jumlah kompaun yang dibayar adalah sebanyak RM34,600 manakala nilai denda adalah sebanyak RM20,000.
Dari segi aduan pengguna, sebanyak 149 aduan telah diterima sejak Januari hingga kini dan 148 aduan telah diselesaikan manakala baki sebanyak satu aduan lagi sedang dalam siasatan.
“KPDN Sandakan ingin mengingatkan semua peniaga di daerah ini agar mematuhi segala undang-undang yang dikuatkuasakan dan memastikan tidak ada berlakunya aktiviti menyorok barang kawalan.
“Mana-mana individu atau syarikat yang disabit dengan kesalahan boleh dikenakan tindakan denda atau penjara mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” jelasnya.