PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan siasatan mengenai kes Omicron di Indonesia, membabitkan individu yang tiba dari Malaysia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata siasatan awal pihaknya mendapati, lelaki berusia 20 tahun itu adalah seorang tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di Depoh Tahanan Semenyih.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat kes serta punca jangkitan. Komunikasi dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia dan Kementerian Kesihatan Indonesia masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes.
“KKM juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (Imigresen) bagi menjalankan siasatan, pengesanan kontak kepada kes serta bagi langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya,” katanya pada sidang media khas, laporan Berita Harian hari ini.
Sebelum ini media melaporkan terdapat tiga lagi kes COVID-19, varian Omicron dikesan di Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan setakat ini adalah lapan.
Tiga kes baharu itu membabitkan pekerja asing Indonesia yang pulang dari Malaysia dan Republik Demokratik Congo.
Mengenai kes itu, Khairy berkata, lelaki berkenaan sebelum ini ditahan bersama tiga rakannya dan saringan COVID-19 ke atas semua mereka sebelum memasuki ke Depoh Tahanan adalah negatif.
“Bagaimanapun dua rakannya dilepaskan kerana mempunyai dokumen lengkap manakala dia dan seorang lagi rakannya dihantar pulang ke Indonesia pada 10 Disember lalu selepas selesai perbicaraan.
“Sehinga kini, rakan kes yang bersamanya dimaklumkan negatif pada saringan kedua. Jadi, sebab itu kita mahu mencari punca di mana kes ini mendapat jangkitan COVID-19 kerana saringan yang dilakukan di negara ini ke atasnya sebelum ini adalah negatif,” katanya.