MENUMBOK: Kerajaan negeri perlu mengkaji semula pemberian bantuan kewangan RM300 agar diperluaskan kepada semua ahli ‘Bot Tambang’ yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot-Bot Tambang Menumbok, Hamirizal Awang berkata, sehingga kini hanya 50 orang ahli mereka menerima bantuan tersebut berbanding 140 orang berdaftar dengan persatuan mereka.
Katanya, pihak persatuan sudah mengemukakan aduan ke Kementerian Kewangan Sabah bagi memastikan bantuan kewangan tersebut dapat diperolehi dalam tempoh terdekat bagi menampung perbelanjaan mereka.
“Kita sudah hubungi pihak kementerian terbabit berulangkali. Jawapan yang diberikan iaitu bantuan kewangan RM300 tidak dapat lagi dikeluarkan memandangkan ianya dikeluarkan secara One-off.
“Pihak persatuan tidak berkemampunan untuk menampung semua pembayaran kepada ahli persatuan yang terjejas apabila tidak boleh beroperasi akibat penguatkuasaan PKP sejak bulan Januari lalu,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday hari ini.
Hamirizal berkata, sebelum PKP januari lalu pihak berkuasa hanya membenarkan bot penumpang yang berkapasti 40 penumpang sahaja beroperasi berbanding 12 penumpang sebelum ini.
“Kita kenakan tambang RM13 seorang untuk perjalanan ke Wilayah Persekutuan Labuan dengan kapasiti 14 penumpang serta hanya boleh beroperasi selama sebulan sebelum pengumuman semula PKP dan Darurat,” katanya.
Pihak pengusaha hanya memperolehi pendapatan kasar sekitar RM364 sehari dengan kos tidak termasuk bayaran minyak serta upah pekerja yang perlu dijelaskan secara harian.
“Pengusaha bot hanya memperolehi pendapatan bersih sekitar RM150 sehari dengan pelbagai cabaran iaitu terpaksa menunggu giliran untuk memuatkan penumpang dalam setiap kali beroperasi,” katanya.
Sabahnewstoday