KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH Plus tidak menuding jari pada mana-mana pihak berkaitan masalah kemudahan asas negeri yang masih daif.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sebaliknya sikap pemimpin parti pembangkang di Sabah seperti Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed yang kerap menuding jari pada masalah kemudahan asas yang sedang dihadapi rakyat sebagai kegagalan kerajaan Sabah hari ini hanya memulangkan paku buah keras.
Katanya sikap pemimpin pembangkang seperti ini yang sentiasa menuduh kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal seolah mengesahkan andaian bahawa pemimpin pembangkang ini tidak ikhlas untuk memajukan Sabah dan terlalu kuat bermain politik dengan berusaha mensabotaj segala langkah penyelesaian oleh kerajaan ke atas masalah legasi yang berdekad ini.
“Walaupun kerajaan hari ini hanya berumur tiga tahun dan menghadapi pelbagai rintangan termasuklah serangan pandemik Covid-19 dan peristiwa kudita pihak yang ingin menjadi kerajaan pintu belakang.
“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa fokus dan sedaya upaya menyelesaikan masalah yang diwarisi selama berdekad-dekad.
“Menuding jari pada kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal, membawa erti, bahawa kerajaan tidak berbuat apa-apa, sedangkan berbagai tindakan dan pendekatan telah diambil malah ada yang telah dirasai sementara yang lain sedang menyusul untuk disiapkan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata memang tidak dinafikan bahawa sebahagian pemimpin kerajaan hari ini adalah dari kerajaan lalu.
Namun, katannya, walaupun parti yang memimpin kerajaan Sabah di waktu itu adalah parti tunjang dari semenanjung yang sangat dominan namun Sabah selalu berasa dipinggirkan kerana agihan dana pembangunan yang diterima dari kerajaan persekutuan tidak memenuhi keperluan sebenar pembangunan di negeri Sabah yang besar.
Menurutnya masih banyak isu kemudahan asas di Sabah tidak dapat diselesaikan.
“Atas kesedaran kepada kelemahan itulah maka sudah sampai masa untuk pemimpin dan rakyat Sabah bersatu-padu untuk meneruskan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Sabah dalam wadah parti tempatan kerana negeri ini adalah rumah kita maka rumah kita , kita lah yang menjaganya.
“Rakyat Sabah mesti bersatu dalam satu wadah tempatan dan mengelakkan perpecahan bagi menjaga kepentingan negeri serta rakyat Sabah, selain kepentingan nasional. Kita perlukan politik yang stabil untuk kerajaan fokus melaksanakan agenda pembangunan negeri sesuai dengan halatuju Sabah Maju Jaya,” katannya.
Nizam berkata, setakat ini kerajaan GRS-PH Plus pimpinan Hajiji telah menunjukkan petanda yang positif dari semua aspek perjuangan sama ada dari segi peningkatan ekonomi negeri, perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 dan langkah-langkah penyelesaian isu legasi kemudahan asas yang berdekad.
“Kita juga berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar kerana sentiasa memahami keperluan Sabah dan bersama dengan perjuangan kerajaan Sabah pimpinan Hajiji.
“Untuk menoktahkan punca kegagalan menaiktaraf atau menyelesaikan kemudahan asas negeri, maka kerajaan Sabah hari ini menuntut untuk mengambil alih kawal selia tenaga, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya sebagai Jabatan Teknikal, pelaksanaan projek-projek persekutuan di bawah RM50 juta selain menubuhkan tabung amanah bagi peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan agar keadaan lalu tidak berulang,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri GRS-PH Plus bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah.
Katanya perjuangan untuk memajukan rakyat dan membangunkan negeri Sabah menjadi keutamaan dan wajib dilaksanakan.
Nizam berkata Kerajaan Sabah hari ini berada di landasan yang tepat untuk terus membawa pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat.