Kerajaan digesa jelaskan status cadangan pindaan Akta 342

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menjelaskan status cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada rakyat.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri TC Goh berkata sama ada kerajaan bercadang untuk membentangkan pindaan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat atau sebaliknya, ia perlu memastikan hukuman yang dicadangkan setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak membentangkan pindaan Akta 342 yang menuntut denda lebih berat terhadap pesalah.

Ismail berkata denda RM1,000 terhadap mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di bawah Akta semasa kekal.

Goh berkata Huazong mengalu-alukan dan menyokong pengumuman Perdana Menteri, dengan menyatakan ia sejajar dengan pendirian Huazong dalam isu itu selama ini, serta memorandum bersama yang ditandatangani dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan 60 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) lain.

Bagaimanapun, Goh berkata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah menyatakan bahawa kerajaan akan membuat beberapa pelarasan kepada rang undang-undang pindaan tersebut dan menyerahkannya semula untuk dibentangkan di Parlimen pada masa yang sesuai.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat menjelaskan dengan lebih baik mengenai perkara ini, sama ada cadangan pindaan Akta 342 telah dibatalkan atau sebaliknya.