LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan sebuah kapal kargo kerana disyaki melakukan kerja-kerja kimpalan atas kapal tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
Kapal bersama 14 kru warga tempatan dan warga Indonesia itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada kedudukan 0.63 batu nautika barat dari laut Pulau Papan, pada Khamis lepas.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapt Maritim Izwanhadi Idros berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan operasi Op Sejahtera 1/2006 dan Op Khas Kuda Laut 2/2020 serta Op Tiris 3.0 telah mengesan sebuah kapal kargo berwarna oren dan putih yang sedang bersauh di perairan Pulau Papan pada jam 6.55 petang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mengesan kapal kargo berkenaan telah melakukan kerja-kerja kimpalan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Katanya, nakhoda dan Ketua Jurutera berserta dokumen kapal ditahan serta dibawa ke jeti APMM Labuan untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B (ii), kerana melakukan kerja kimpalan (kerja-kerja panas) tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 serta denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua duanya.
Dalam pada itu, Izwanhadi menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang melakukan kesalahan di laut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan.
GAMBAR
1.DITAHAN…kapal kargo yang ditahan selepas didapati melakukan kerja kerja kimpalan tanpa kebenaran.
2.KERJA kimpalan yang dilakukan di atas kapal kargo berkenaan.