KOTA KINABALU : Seramai 39 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Operasi Gempur Bersasar dilancarkan serentak di seluruh negara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk di sekitar daerah Papar dan Kota Kinabalu, di sini semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata, serbuan menyeluruh terhadap premis disyaki menggaji pekerja asing secara tidak sah.
Katanya, seramai 353 individu diperiksa dan hasilnya, 39 lelaki dewasa warga Indonesia dan Filipina ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Operasi ini dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
“Tiga rakyat tempatan turut dikenakan Notis Hadir ke Pejabat untuk bantu siasatan kerana dipercayai menggaji PATI,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Sejak awal tahun hingga kini, sebanyak 12,505 orang telah diperiksa di seluruh Sabah, dengan 2,274 tangkapan dilakukan manakala 5,926 PATI telah dihantar pulang ke negara asal.
“Jabatan Imigresen turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI atau premis yang menggaji warga asing secara haram bagi membantu mengekang isu keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
