Hajiji Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah (JKKN), yang telah membincangkan pelbagai isu semasa yang berlaku di negeri Sabah di sini hari ini.

Dalam mesyuarat yang berlangsung di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Ketua Menteri mengarahkan semua ketua dan jabatan yang berkaitan mengambil tindakan tegas dan pantas dalam menangani isu-isu semasa yang belaku di negeri ini seperti isu masyarakat Pala’u dan banjir.

Hajiji turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu isu-isu semasa itu menjadi lebih besar hingga menjejaskan reputasi negeri dan negara di luar negara.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Keselamatan Negeri merangkap Setiausaha JKKN Sabah, Datuk Noor Alam Khan A Wahid Khan serta ketua-ketua jabatan.