KOTA KINABALU : Jabatan Air Sabah merancang membangunkan sistem bekalan air lestari bagi memastikan penyampaian bekalan air yang selamat, berkualiti sekali gus berterusan kepada seluruh pengguna di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Jabatan Air Sabah komited untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan untuk menyediakan perkhidmatan efisien serta profesional.
Katanya, sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan, Jabatan Air Sabah sedang melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi.
“Ini bagi menangani isu bekalan air jangka masa panjang iaitu 18 projek di bahagian Pantai Barat, 15 projek di Bahagian Pedalaman, 12 projek Bahagian Tawau, lima projek Bahagian Sandakan dan dua projek Bahagian Kudat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Anwar Ayub berkaitan perancangan khusus Kerajaan Negeri bagi menangani masalah bekalan air terawat di Sabah di sini hari ini.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, kementeriannya sedang meneliti cadangan bagi pelantikan perunding untuk melaksanakan kajian dan penyediaan pelan induk bagi seluruh daerah di Sabah.
“Kajian ini bertujuan untuk merangka strategi dan pelan induk bagi mengoptimumkan bekalan air terawat yang selamat kepada seluruh komuniti di Sabah.
“Ini meliputi keperluan jangka masa pendek, sederhana serta jangka panjang, termasuk cadangan pelaksanaan strategi Grid Air di seluruh negeri,” jelas Shahelmey.
Menurutnya, kementeriannya
mengemukakan senarai keutamaan cadangan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Tawau dan Sandakan.
“Ini termasuk pelaksanaan Program Non- Revenue Water (NRW) secara holistik bagi daerah Keningau dan Beaufort, serta cadangan kerja-kerja penggantian paip lama yang uzur di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan.
“Pada masa sama, JANS juga bercadang di bawah program yang sama untuk melaksanakan secara berfasa pembinaan Sistem Tangki Pra- Pemendapan di 22 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sabah,” katanya.
