Dewan Perniagaan Cina Labuan desak supaya pelarasan tarif air ditangguh

LABUAN: Dewan Perniagaan Cina Labuan mendesak supaya pelarasan tarif air yang akan berkuasa 1 Febuari ini ditangguhkan bagi pengguna di pula bebas cukai ini.

Presidennya, Datuk Wong Kii Yii berkata, tindakan kerajaan untuk menaikkan tarif air sebanyak 22 sen yang melibatkan kawasan Semenanjung dan Labuan perlu dikaji semula khususnya untuk kawasan Labuan.

“Ini kerana Labuan ketika ini masih lagi menghadapi krisis gangguan bekalan air berikutan kekerapan paip air yang bocor dan pecah,” katanya kepada media di sini, kelamrin.

Beliau berkata, Labuan baharu sahaja menerima peruntukan RM300 juta untuk menangani isu gangguan bekalan air dan rancangan untuk penggantian paip baharu sahaja bermula dan adalah tidak wajar pelarasan tarif air dilaksanakan sedangkan Labuan masih lagi berdepan dengan masalah gangguan bekalan air.

“Kita berharap pelaksanan pelarasan tarif air untuk Labuan ditangguhkan dahulu sehinggalah krisis air di Labuan berjaya ditangani sepenuhnya,” katanya.

Wong berkata, impak gangguan bekalan air yang berpanjangan menyebabkan penduduk Labuan terutamanya peniaga sektor makanan dan minuman berdepan dengan pelbagai kesulitan untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Kami berharap kerajaan yang sering melaungkan prihatin rakyat dapat mempertimbangkan rayuan kami untuk menangguhkan tarif air bagi kawasan Labuan,” katanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru baru ini telah mengumumkan penyelarasan tarif air untuk pengguna domestik di Semenanjung dan Labuan akan dilaksanakan bermula pada 1 Febuari ini melibatkan kenaikan sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.