Bung Moktar perlu semak fakta sebelum keluarkan kenyataan berbaur kebencian, dendam – Nizam

KOTA KINABALU : Serangan Ketua UMNO Sabah Bung Moktar terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor adalah tidak berasas sekali gus tidak mencerminkan realiti pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Tinggan berkata, dalam tempoh empat tahun kepimpinan Ketua Menteri kutipan hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda, dengan Sabah mencatatkan kutipan hasil RM6.973 bilion pada tahun 2023.

Katanya, ini merupakan rekod tertinggi dalam sejarah Sabah membuktikan kerajaan GRS PH Plus mengurus ekonomi negeri dengan bijaksana melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Selain itu, di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi serta mencipta banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

“Sebagai contoh, pelaburan RM2.3 bilion SK Nexilis untuk kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, pelaburan yang dianggarkan sebanyak RM7.2 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau melahirkan Kibing Group untuk kilang solar yang membuka lebih 1,800 peluang pekerjaan baharu.

“Selain itu, pelaburan dalam industri petrokimia oleh Ammonia Urea Sabah (SAMUR) yang menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Kerajaan GRS PH Plus turut aktif membantu belia Sabah mendapatkan kemahiran melalui program latihan kemahiran dan kerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburan ini,” jelas Nizam.

Menurutnya, kerajaan negeri terus mempergiatkan usaha membina infrastruktur asas meningkatkan ekonomi rakyat sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan integriti dan komitmen yang jelas terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, dan dakwaan mengenai ketidakcekapan.

“Ini termasuk isu integriti adalah usaha untuk mengalih perhatian daripada pencapaian sebenar kerajaan GRS.

“Oleh itu, adalah penting untuk menilai kerajaan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan berdasarkan tohmahan yang tidak berasas,” kata Nizam.

Beliau menyeru agar semua pihak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat dan memberi sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah.

“Dengan ini, saya menegaskan bahawa kerajaan GRS PH Plus  kekal fokus kepada agenda pembangunan dan kepentingan rakyat.

“Kami tidak akan terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang hanya bertujuan untuk melemahkan keyakinan rakyat.

“Saya ingin menasihatkan Bung Moktar agar menyemak fakta dengan teliti sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh berbaur kebencian atau dendam,” tambah Nizam.

Beliau (Bung) harus menyedari bahawa kepentingan peribadi atau agenda politik sempit tidak boleh diletakkan sebagai senjata utama untuk memenangi hati rakyat.