Batalkan perjanjian pengurusan dengan syarikat asing

KOTA KINABALU: Berkaitan dengan Perjanjian Negeri Sabah dan Syarikat Milikan Singapura HOCH Standard Pte Ltd yang bertarikh 30 Oktober 2021.

Perjanjian tersebut memberikan hak eksklusif selama lebih 100 tahun tersebut perlu diperincikan agar tidak merugikan rakyat Sabah dalam jangkamasa panjang.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Chrisnadia Sinam berkata, perjanjian ini dikhuatiri dibuat secara tergesa-gesa tanpa penyelidikan menyeluruh sekali gus membuka ruang kepada syarikat luar negara untuk mengurus tadbir  hutan negeri ini.

“Kita tidak mahu perjanjian berat sebelah yang memungkinkan hak hutan sabah boleh dijual di pasaran secara terbuka samada melalui syarikat atau individu.

“PKR Sabah berpendapat bahawa urus tadbir hutan kita tidak perlu campur tangan oleh orang luar.

“Kita mempunyai tenaga kepakaran sendiri seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membantu dalam pemulihan dan pemeliharaan hutan negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Chrisnadia berkata, Singapura tidak mempunyai hutan dan agak mustahil mereka mampu memahami hutan lebih baik daripada rakyat Sabah sendiri.

“Kerajaan Negeri perlu bertegas mengenai perjanjian strategik ini dan jangan sampai hutan Sabah tergadai.

“Hal ini sangat serius memandangkan keluasan Hutan Sabah hampir 2 Juta Hektar serta perlu dipelihara untuk warisan generasi dan konservasi ekosistem dunia,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan kenyataan daripada Peguam Negeri (AG) serta Timbalan Ketua Menteri Sabah baru -baru ini melalui akhbar menimbulkan keraguan berkaitan kredibiliti syarikat berkenaan.

“Kita mendesak Kerajaan memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat berkaitan dengan keuntungan dan kelebihan perjanjian ini dibuat.

“Sebaiknya batalkan perjanjian ini dan berikan masa kepada pakar kita untuk mengkaji lebih dalam,” katanya.