Prosedur pindah infrastruktur utiliti lambatkan pembinaan Pan Borneo – Bung Moktar

SANDAKAN: Pelaksanaan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang perlahan adalah disebabkan prosedur memindahkan infrastruktur utiliti di jajaran projek itu yang memakan masa, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata oleh itu, kerajaan negeri telah merancang untuk melaksanakan projek itu menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Setakat ini, pelaksanaan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo mengikut jadual, cuma ada beberapa pakej kerja yang mempunyai kelewatan sedikit disebabkan masalah SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) lambat memindah (infrastruktur) utilitinya iaitu tiang lampu, Jabatan Air pun begitu, pembetungan pun begitu.

“Saya telah merancangkan supaya Sabah juga membuat keputusan seperti di Semenanjung dan Sarawak iaitu kita tidak anugerahkan dahulu projek-projek jalan raya ini selagi pemindahan infrastruktur utiliti tidak selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Kinabatangan di sini malam ini.

Bung Moktar mengakui pemindahan infrastruktur berkenaan mungkin memakan masa sehingga empat tahun sebelum kerja-kerja hakiki projek berkenaan boleh dilaksana.

Menurutnya, perkara mengenai pelaksanaan PFI telah melalui banyak perbincangan antara kementeriannya, Kementerian Kerja Raya di peringkat Persekutuan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi serta kabinet Persekutuan telah bersetuju dengan cadangan itu.

“Sekarang ini, kita hanya menunggu perbincangan terakhir bagaimana hendak melaksanakan secara PFI,” katanya.

Sebelum ini, Bung Moktar telah mencadangkan pelaksanaan secara PFI ke atas 22 pakej kerja di bawah fasa 1 projek itu kerana berkemungkinan kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kewangan untuk melaksanakan projek tersebut berdasarkan peruntukan yang ada.

Beliau memberitahu setakat ini, 15 pakej kerja daripada 34 pakej di bawah fasa 1 telah dilaksanakan.

Mengulas mengenai perkembangan politik, Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata pihaknya mengikut keputusan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini agar kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, namun penyandangnya telah melompat, perlu ditandingi semula oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.

“Kita tidak boleh menyerahkan kerusi-kerusi itu kepada mana-mana pihak secara percuma. UMNO menegaskan itu adalah kerusi-kerusi BN dan perlu ditandingi oleh BN,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar mengalu-alukan kehadiran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mengumumkan akan bertanding di Sabah namun berpendapat rakyat di negeri itu tidak akan berminat untuk memilih parti itu.

— BERNAMA