‘Cari parkir lebih susah daripada jumpa doktor’, pengunjung keluh di HWKKS

KOTA KINABALU: Isu kekurangan parkir di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas terus menjadi rungutan pengunjung yang mendakwa masalah itu bukan lagi isu baharu, malah semakin membebankan pesakit serta waris yang mendapatkan rawatan.

Seorang pengunjung, Ramli Juahari, berkata kebanyakan ruang parkir sudah penuh seawal pagi menyebabkan ramai terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan bawah bukit sebelum berjalan kaki mendaki ke hospital.

“Hospital berada di atas bukit, tetapi parkir hanya ada di bawah. Memang penat, lebih-lebih lagi kalau bawa anak kecil, ibu mengandung atau warga emas,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menyukarkan pengunjung, malah boleh menjejaskan kelancaran urusan mendapatkan rawatan terutama ketika waktu puncak apabila jumlah pesakit dan waris meningkat.

Menurutnya, kemudahan parkir yang mencukupi seharusnya menjadi sebahagian daripada perkhidmatan asas hospital kerana ia memberi kesan langsung kepada akses pesakit mendapatkan rawatan.

Ramli berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan penyelesaian jangka panjang, termasuk menambah kapasiti parkir atau memperkenalkan sistem parkir yang lebih cekap bagi mengurangkan kesesakan.

“Hospital ini menjadi tumpuan pesakit dari seluruh Sabah. Kemudahan parkir yang lebih baik sudah tentu dapat membantu memudahkan urusan pesakit, waris dan petugas kesihatan,” katanya.

Beliau berharap isu berkenaan dapat diberi perhatian sewajarnya demi meningkatkan keselesaan dan kebajikan pengunjung Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.