Penjawat awam antara tiga dicekup dalam Op Tapis

LAHAD DATU: Seorang penjawat awam antara tiga lelaki tempatan yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Lahad Datu dalam Op Tapis di Kampung Bangkarat, Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.

Dalam serbuan jam 12.45 tengah hari itu, polis merampas 0.43 gram syabu yang disembunyikan di dalam kotak rokok.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu berkata, ujian saringan awal mendapati dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine, manakala seorang lagi positif methamphetamine.

Ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 52 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah tanpa mengira jawatan atau latar belakang.