MCCC Sabah mahu jadi penghubung utama Sabah-China

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah berhasrat menjadi penghubung paling kukuh antara Sabah, Malaysia dan China dalam memperluaskan kerjasama perdagangan, pelaburan serta pembangunan ekonomi.

Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, MCCC Sabah telah membina hubungan kukuh dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa wilayah dan bandar di China, persekutuan industri, persatuan perniagaan, syarikat, agensi Persekutuan, institusi kerajaan Sabah serta dewan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, MCCC Sabah kini berkembang sebagai platform utama kerjasama Malaysia-China, khususnya dalam membantu syarikat China meneroka peluang pelaburan di Sabah dan Malaysia Timur.

“Kami juga mahu menjadi rakan strategik paling dipercayai kepada syarikat Sabah yang ingin mengembangkan perniagaan ke pasaran China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam jaringan perniagaan sempena lawatan delegasi Persekutuan Industri dan Perdagangan Dalian, China di sini, malam Sabtu.

Dexter berkata, MCCC Sabah terus memainkan peranan memperkukuh kerjasama dua hala bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan, malah meliputi hubungan kerajaan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, teknologi dan pembangunan belia.

Menurutnya, kehadiran pelbagai dewan perniagaan, persatuan industri, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi akademik dan pemimpin masyarakat membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan Malaysia-China.

Beliau berkata, MCCC Sabah akan terus berperanan sebagai jambatan bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pelaburan antara Sabah dan China.